
Selepas kejayaan Humood Alkhudher mencipta fenomena Kun Anta di serata dunia, Humood kali ini tampil mengumumkan sebuah projek khas bersama para peminat untuk turut serta mengambil bahagian di dalam klip video rasmi Kun Anta.
Bagi menjayakan projek kerjasama ini, Awakening Records selaku syarikat yang menguruskan kerjaya seni Humood telah membangunkan sebuah laman web khas berserta video untuk tujuan ini.
Sekiranya anda ingin menyertai projek ini, apa yang anda perlukan hanyalah sebuah kamera video tidak kira samada kamera biasa ataupun yang terdapat pada telefon pintar anda dan juga sedikit keyakinan diri untuk tampil di dalam rakaman video tersebut.
Untuk memastikan setiap rakaman yang dibuat menepati kriteria serta kualiti yang diinginkan, pihak Awakening Records turut menyertakan garis panduan berikut:-
- Pilih lokasi rakaman video yang bersesuaian samada di luar atau dalam bangunan.
- Elakkan rakaman di tempat gelap. Sekiranya anda tidak memiliki peralatan penataan cahaya bersesuaian, gunakan penataan cahaya semulajadi di luar bangunan.
- Sebarang jenis kamera video boleh digunakan termasuk yang terdapat pada telefon pintar anda.
- Jika anda membuat rakaman menggunakan telefon pintar, pastikan rakaman tersebut dilakukan pada paparan mendatar dan tidak menegak.
- Pastikan rakaman video stabil dan tidak terlalu bergoyang.
- Mainkan lagu “Kun Anta” versi original ketika proses rakaman dilakukan.
- Anda boleh memilih samada ingin merakam video bagi keseluruhan lagu “Kun Anta” atau hanya sebahagian daripada lagu tersebut.
Selepas selesai proses rakaman video, muat naik fail rakaman tersebut menggunakan wetransfer.com atau laman perkongsian fail yang lain (MediaFire, Dropbox, Jumpshare dll) dan hantarkan link muat turun video rakaman tersebut berserta gambar anda dalam resolusi tinggi ke KunAnta@awakening.org. Jangan lupa untuk sertakan bersama butiran peribadi anda seperti nama penuh, negara dan bandar tempat tinggal anda di dalam emel tersebut.
Tarikh tutup penyertaan ialah pada 30 September 2015.
Selamat mencuba dan semoga berjaya
Laman khas projek klip video “Kun Anta”
– Munsyeed
Klik untuk komen pada artikel Sertai Humood Alkhudher Dalam Projek Klip Video Kun Anta di Munsyeed.