
Ketika di era kebangkitan kumpulan-kumpulan nasyid generasi baru yang bernaung di bawah label Hijjaz Record, para peminat nasyid seringkali dihidangkan dengan lagu-lagu baru serta album khas bersempena dengan kehadiran bulan Ramadhan. Gabungan berbisa dari kumpulan seperti Inteam, UNIC, Mestica dan beberapa artis lain di dalam karya-karya tersebut ternyata berjaya memberikan suntikan kemeriahan sambutan bulan Ramadhan di hati para peminat di Malaysia dan Indonesia.
Biarpun kini tidak lagi berada di bawah label yang sama, tahun ini mereka kembali bersatu di dalam sebuah single terbaru sempena Ramadhan bertajuk “Kita Da’i” terbitan UNICDOTMY PRO. Lagu yang menerima sentuhan komposer Ruby Wahyu dari Indonesia ini dicipta sepenuhnya oleh Bazli UNIC manakala lirik oleh Ahmad Fedtri Yahya. Menerusi lagu ini, UNIC menampilkan kolaborasi bersama Hazamin Inteam, Hafiz Hamidun, Suhaimi Saad dan Razin Mestica sekaligus mengimbau kembali kenangan ketika bersama di bawah HRSB.
Menurut Fakhrul UNIC, single terbaru ini disifatkan sebagai reunion rakan-rakan artis yang pernah bernaung bersama di bawah syarikat rakaman Hijjaz Record. Selain Inteam, Hafiz Hamidun, Suhaimi Saad dan Mestica, UNIC juga turut menjemput kumpulan Hijjaz untuk turut serta di dalam single tersebut. Walau bagaimanapun wakil kumpulan Hijjaz terpaksa menolak untuk berkerjasama atas faktor masa yang tidak mengizinkan mereka untuk terlibat dalam sesi rakaman single ini.
Kita Da’i 7 Dalam 1.
Lagu “Kita Da’i” hadir dalam bentuk yang unik apabila ia diterbitkan dalam 7 versi yang berbeza. Jelas Bazli UNIC dalam satu sesi pra-dengar khas yang diadakan baru-baru ini, “Khusus untuk pasaran digital, julung kalinya di Malaysia peminat akan dihidangkan dengan 7 versi yang berlainan untuk sesebuah lagu”. Kesemua 7 versi yang akan diperdengarkan kepada peminat ialah versi penuh, akustik, acapella, minus one, minus two dan dua buah trek instrumental yang menampilkan sentuhan Halim.
Menyentuh soal strategi pemasaran untuk album single ini, UNIC menjelaskan bahawa CD fizikal “Kita Da’i” tidak akan dijual di kedai-kedai muzik seperti yang biasa dilakukan sebelum ini. Sebaliknya ia akan diberikan secara PERCUMA kepada para peminat menerusi pembelian t-shirt keluaran mereka yang akan diumumkan kelak.
Lagu ini boleh dibeli secara online pada 1 Ramadhan melalui iTunes dan boleh didengar secara percuma di Spotify, KKBOX dan Deezer. Manakala, video lirik rasmi boleh ditonton menerusi akaun rasmi YouTube UNICDOTMY PRO mulai 2 Ramadhan.
“Kita Da’i” mengisahkan tentang peranan serta tanggungjawab seorang pendakwah (Da’i). Semua individu muslim mempunyai peranan dalam menyebarkan dakwah, ilmu serta kebaikan tanpa mengira pangkat, kedudukan dan harta serta latar belakang pendidikan seseorang itu. Tambahan pula, dalam lagu ini juga menceritakan bahawa dalam kita berperanan sebagai da’i ini perlulah mempunyai sifat ikhlas di dalam diri tanpa mengharapkan balasan penghargaan sama ada dalam bentuk gelaran, wang ringgit atau apa jua melainkan ganjaran daripada Allah S.W.T.
– Munsyeed
Klik untuk komen pada artikel Hijjaz Tolak Kerjasama Bersama UNIC di Munsyeed.