
Gema Gegar Vaganza (GGV) musim yang pertama telah meletakkan penanda aras yang tinggi melalui siri persembahan hebat dipamerkan terutamanya oleh pemenang tiga teratas iaitu UNIC (juara), Hijjaz (naib juara), dan Mirwana (ketiga). Malahan peserta-peserta solo seperti Hafiz Hamidun dan Azmi Saat juga sangat menonjol di pentas. Kita dapat lihat variasi yang sangat menarik bukan sahaja pada aspek sentuhan rohani, tetapi juga kreativiti dan pembawaan yang berjaya memecah stigma terhadap irama nasyid dan lagu ketuhanan itu sendiri.
Persoalannya, mampukah artis-artis GGV2 mengulangi pencapaian yang sama? Mampukah GGV2 menampilkan versatiliti? Atau ‘concern’ yang lebih berat; mampukah mereka menjadi lebih baik dari GGV1? Hal ini menarik untuk kita bincangkan. Saya sendiri apabila mengetahui akan kembalinya GGV untuk musim kedua, masih ada kesimpulan dari GGV musim pertama yang bermain di minda saya. Salah satunya ialah tentang peserta muslimah yang menyertai GGV.
BANGKIT PESERTA MUSLIMAH GGV!
Dari 3 kepada 2 penyertaan peserta wanita di GGV
Saya melihat pada GGV2 kali ini, tidak pasti sama ada Astro sangat berhati-hati dengan pemilihan peserta wanita atau kurang penyertaan dari penyanyi wanita kerana berlaku pengurangan dari sudut bilangannya (dari tiga penyertaan kepada dua).
Walau bagaimanapun, saya yakin bahawa GGV2 pasti lebih cermat mengatasi isu yang bakal dibangkitkan netizen berkaitan peserta muslimah GGV seperti isu berhias dan juga pilihan pakaian, apatah lagi peserta-peserta muslimah GGV2 (Farah Asyikin, Heliza & Hazwani) sememangnya selebriti yang menjaga penampilan mereka.
Satu hal lagi, saya sangat berharap peserta muslimah GGV tidak hanya menjadi sekadar ‘penambah rencah’ berbanding peserta-peserta yang lain. Hanya kerana keterbatasan mereka sendiri selaku penyanyi muslimah untuk berkreativiti melalui ‘body language’ dan hal-hal berkaitan dengannya tidak sepatutnya menjadi penghalang untuk mereka menonjolkan diri (almaklum lah, berlebih-lebihan nanti kena kecam pula). Ini terletak dibawah kebijaksanaan dan kreativiti GGV sendiri; bagaimana pihak produksi ingin ‘menjenamakan’ peserta muslimah GGV ini supaya tidak sekadar menjadi ‘second choice’ di dalam pertandingan ini. Semestinya tidak dapat tidak mereka mesti memiliki lontaran vokal yang bagus dan perlu lebih ligat memerah idea ‘luar kotak’ yang boleh menjentik perhatian penonton (tanpa perlu bersifat keterlaluan dan masih tetap menjaga batas-batasnya).
JANGAN JADI BAYANGAN GGV MUSIM PERTAMA
Ada kecenderungan juga peserta-peserta GGV2 mungkin akan mencedok gaya dan idea yang pernah digunapakai oleh peserta-peserta GGV musim pertama. Pandangan saya sendiri, mereka harus keluar dari bayangan GGV1 dan fikirkan sesuatu yang lain daripada yang lain untuk memastikan GGV kekal relevan dan diingati. Manfaatkan kekuatan yang ada pada diri / kumpulan dan pamerkan di atas pentas.
Bukan bayangan peserta terdahulu
Peserta-peserta GGV2 juga tidak perlu untuk menjadi bayang kepada UNIC, Hijjaz, mahupun Mirwana. Mereka perlu yakin bahawa mereka memiliki kekuatan tersendiri yang masih belum ditunjukkan kepada peminat-peminat mereka. Peserta GGV mesti buktikan bahawa dakwah itu banyak cabangnya dan ia boleh menyentuh hati manusia dengan pelbagai cara. Walaupun kita akui durasi persembahan pentas GGV agak singkat untuk menonjolkan semuanya, tetapi itulah cabaran yang perlu dihadapi oleh peserta-peserta GGV. Push to the limit dan pamerkan sisi lain dari sekadar kemahiran melantun suara.
Jika kita dapat perhatikan ‘nature’ peserta-peserta GGV2 kali ini agak menarik. Inteam contohnya mempunyai ‘nature’ gaya yang dibentuk oleh kumpulan Hijjaz. Malahan banyak lagu-lagu malar segar kumpulan Inteam merupakan gubahan dari ‘senior’ mereka. Namun begitu, Inteam mempunyai kekuatan vokal pada semua ahlinya yang menjadikan banyak lagi ‘magis’ yang boleh Inteam persembahkan. GGV2 pastinya menjadi medan yang baik buat Inteam untuk buktikan mereka bukannya ‘Hijjaz’ dan mereka masih ada sesuatu yang belum dipersembahkan kepada peminat.
Kumpulan Mestica juga lahir dari cungkilan bakat Hijjaz Music Entertainment (HME). Disamping pembawakan lagu-lagu pop ballad, kita juga dapat lihat Mestica juga mampu membawa lagu-lagu semangat dan rancak dengan baik seperti lagu ‘Salahudin Al-Ayubi’. Menarik untuk kita saksikan apakah lagi yang Mestica mampu hidangkan di atas pentas GGV. Di samping itu, saya juga melihat pasangan duo adik-beradik Heliza & Hazwani bakal tampil dengan konsep persembahan yang berbeza di pentas GGV ini. Mereka telah tampil di pentas Anugerah Nasyid IKIMFM baru-baru ini dan rasanya mereka tiada masalah untuk berkreativiti di atas pentas dengan bakat ‘serba boleh’ yang mereka ada.
Kumpulan Devotees juga tidak kurang hebatnya. Saya juga ternanti-nantikan apa kejutan yang bakal kumpulan ini tonjolkan. GGV2 adalah pentas yang baik untuk mereka zahirkan identiti mereka kerana kumpulan ini agak moden pembawaannya berbanding kumpulan nasyid yang lain. Mereka perlu tunjukkan mereka bukan sekadar kumpulan nasyid ‘pop’ yang biasa-biasa tetapi juga mempunyai sentuhan magis yang tersendiri. Seperti juga kumpulan Rabithah yang masih ‘fresh’ dalam industri. Mereka memiliki vokal yang ‘clean’ dan diharapkan mereka boleh bertahan lama di dalam GGV dan mampu mencurahkan kreativiti sebaik mungkin.
Sebuah lagi kumpulan ‘otai’ (yang turut saya minati) iaitu kumpulan Brothers juga bakal berentap di pentas ini. Semestinya pemergian sahabat Allahyarham Salleh Brothers dua tahun lepas sedikit sebanyak memberi kesan kepada kumpulan ‘legend’ ini. Salleh boleh diibaratkan sebagai tunjang utama kepada kumpulan Brothers. Namun begitu, perjuangan harus diteruskan. Keberadaaan Brothers di dalam GGV2 pastinya memberi maksud yang besar bahawa Brothers tidak patah semangat dan mereka mampu menonjolkan sesuatu di pentas GGV ini. Adakah ‘abang-abang’ kepada Mirwana ini akan membawa kelainan? Kita tunggu dan lihat.
ADAKAH GGV2 MILIK PENYANYI SOLO?
Saya juga tertarik melihat penyertaan dari penyanyi-penyanyi solo dalam GGV2. Fitri Haris? Ippo Hafiz? Awi Rafael? Farah Asyikin? Adeep Nahar? WOW! Memang langsung tak sangka mereka akan menjadi antara artis-artis yang membarisi GGV2. Apa lagi yang boleh kita harap daripada mereka melainkan lontaran vokal yang baik dan ‘showmanship’ yang padu. Walaupun antara mereka masih baharu atau sudah lama tidak muncul di pentas pertandingan sebesar ini, peluang yang diberikan seharusnya dimanfaatkan sebaik mungkin.
Adakah GGV2 milik penyanyi solo? Boleh jadi. Mereka semua mempunyai kekuatan vokal yang tersendiri. Fitri Haris memiliki key suara yang tinggi. Awi Rafael pula sememangnya mempunyai kawalan vokal ‘serak-serak basah’ yang sangat bagus. Ippo Hafiz juga mempunyai vokal yang unik ala-ala penyanyi seberang. Adeep Nahar pun tidak kurang hebat dengan pembawaan pop R&B beliau. Begitu juga Farah Asyikin, bakat yang lahir dari Malaysian Idol dan One In A Million (OIAM) yang sudah lama tidak muncul di pentas. Pastinya peminat ternanti-nantikan kemunculan beliau dengan imej baharu.
Apa pun yang akan terjadi pada Gema Gegar Vaganza musim kedua ini, kita berharap ia akan terus menjadi medan dakwah yang berkesan buat penonton. Kita mahu tarik lebih ramai pendengar untuk menggemari irama nasyid dan ketuhanan melalui platform ini. Malahan diharapkan ia menjadi ‘pintu’ yang besar buat bakat-bakat baharu yang ikhlas berdakwah dan berkarya melalui lagu, bukan sekadar menempah populariti semata-mata.
The post Mampukah GGV 2 Tampilkan Versatiliti? appeared first on Munsyeed.