
Bermula sebagai sebuah kumpulan nasyid berkonsepkan hadrah 12 tahun yang lalu, sekumpulan anak muda berasal dari kota Gudeg, Yogyakarta, Indonesia mengawali langkah mereka di dalam dunia seni hiburan islami menerusi kegiatan ko-kurikulum di SMP IT Abu Bakar. Biarpun mereka serius mengetengahkan elemen nasyid klasik, tragedi yang mengakibatkan kerosakan pada peralatan muzik hadrah mereka menjadi titik penting peralihan Sintesa ke aliran muzik berkonsepkan acapella.
Siapa sangka perubahan aliran yang mereka bawakan telah berjaya mengangkat 7 anak muda yang kini dikenali sebagai Sintesa Vocal Play ke tahap yang boleh dibanggakan di dalam dunia muzik Indonesia. Mereka bukan sahaja pernah menjadi antara 32 peserta teratas di dalam pertandingan Awakening Talent Contest anjuran Awakening Records, Sintesa juga pernah beraksi sebagai finalis di dalam rancangan realiti Suara Indonesia di saluran Trans TV Indonesia. Sehingga hari ini, Sintesa Vocal Play diterajui oleh 7 orang anggota kumpulan yang terdiri daripada Abdu Robbih Elkayyis Fikri (Kayyis), Rois Akbar (Rois), Dimastra Rasikhul Fikri (Fikri), Budi Ferizqiawan (Bufe), Dimastra Yusuf Lisan (Yusuf), Chandra Budi Santosa (Chandra) dan Erwin Tri Wijanarko (Erwin).
Album Sulung & Sambutan Ulangtahun
Dalam perkembangan terbaru, kumpulan Sintesa Vocal Play baru sahaja menerbitkan album sulung mereka berjudul 7 pada pertengahan bulan Mei yang lalu. Album 7 menampilkan 9 buah lagu acapella segar antaranya ialah Sederhana Saja, Cinta Untuk Palestina dan Bersujudlah.
Menurut Bufe, album 7 membawakan aspek keunikan yang membezakan mereka dari kumpulan-kumpulan acapella yang sedia ada di pasaran. Muzik acapella Sintesa yang memiliki unsur futuristik menjadi hidangan utama pada setiap karya yang dipertaruhkan di dalam album sulung mereka.
“Lagu-lagu di dalam debut album Sintesa Vocal Play ini mewakili berbagai tema dalam kehidupan manusia, cinta, persahabatan, mimpi, dan ketuhanan dapat ditemui di dalamnya”, jelas Bufe yang merupakan salah seorang ahli kumpulan Sintesa.
Walaupun album 7 baru sahaja memasuki pasaran, lagu Cinta Untuk Palestina yang merupakan salah sebuah karya hit yang terkandung di dalam album tersebut telah terpilih sebagai salah satu calon Best Arrangement of The Year di Bandung Nasyid Award. Hal ini sedikit sebanyak membuktikan kehebatan setiap anggota kumpulan ini dalam menampilkan karya positif yang segar di telinga para peminat.
Bersempena dengan ulang tahun ke 12 penubuhan Sintesa yang disambut semalam, mereka sekali lagi tampil dengan buah tangan terbaru khas buat para pendokong setia Sintesa berupa single bertajuk Harimu.
“Harimu berisi doa pada seorang insan yang ingin menjadikan setiap hari yang ia lalui bermakna. Setiap hari merupakan langkah baru yang harus dijalani penuh semangat supaya menjadi milik kita.”
Jelas Bufe lagi, permulaan hari yang baik haruslah dengan perencanaan yang baik berserta doa dalam setiap langkah yang baru agar beroleh keberkatan.
Sekiranya anda merupakan penggemar lagu-lagu acapella, album ini pastinya tidak akan mengecewakan. Album pertama Sintesa Vocal Play ini boleh didapatkan menerusi platform digital iTunes, CDBaby, dan Amazon Music Store. Album ini juga turut berada di platform penstriman Deezer.
– Munsyeed
Klik untuk komen pada artikel Tragedi Ubah Haluan Muzik Sintesa Vocal Play di Munsyeed Dot Com 2010-2015.