
2016 membuka tirai dengan seleksi lagu-lagu romantis yang cukup padu, memukau, dan berbeza. Sebelum ini saya berpeluang mendengarkan single Hafiz Hamidun berjudul ‘Janjiku’. Terbaharu, saya mendengar pula single terkini yang berlainan genre nya hasil special project band gabungan pop band SAJA dan penyanyi solo yang lahir dari program Mentor, Tuah berjudul ‘Dia Cahaya’. Saya berkesempatan menemubual sendiri komposer serta produser lagu ini iaitu saudara Akmal SAJA bagi membincangkan lebih mendalam berkenaan single ini.
Pop Rock Moden yang Ringan
“Saya cuba menggabungkan melodi yang ringan dan lirik yang mudah difahami,” kata Akmal sewaktu sesi perbualan di laman Whatsapp. Akmal yang turut sinonim selaku salah seorang ahli grup vokal Mirwana menyatakan rasa keterujaan beliau terhadap penghasilan lagu ‘Dia Cahaya’ ini.
Saya sendiri telah mendengar dan ternyata elemen ‘pop rock’ yang diketengahkan telah membawa lagu ‘ringan’ ini ke satu aras yang lebih tinggi! Apa yang saya mampu katakan, gaya lagu sebegini memang menjadi kesukaan rata-rata pendengar awam masa kini. Lagu ‘market’ lah senang cerita! Ada unsur-unsur Akim & The Majistret dan HyperAct di dalamnya yang menjadikan lagu ‘heavy music’ ini dijangka mampu menarik ramai pendengar muda.
‘Dia Cahaya’ sebuah Muzik Eksperimental
Suatu yang menarik untuk dibincangkan dari sudut teknikal lagu ini sendiri ialah ‘flow’ nya yang berubah-ubah dari awal sehingga ke akhir lagu. Pada awalnya melodi dan muzik agak perlahan dan mendayu-dayu. Kemudian barulah elemen rock dimasukkan sedikit demi sedikit melalui guitar work yang dipersembahkan. Saya paling gemar mendengar bahagian korus di mana liriknya berbunyi “Tuhan curahkan kasihmu..” kerana pada waktu itu muzik terutama gitar elektrik ‘menyanyi’ bersama melodinya – ‘sing-along’ kata orang putih. Idea muzik yang bagi saya bukanlah julung kalinya diaplikasikan tetapi sangat kreatif dan ada ummphh!
Akmal sendiri memberitahu sebelum ini SAJA banyak membawa lagu-lagu santai. Cuma kali ini SAJA tampil sedikit berlainan melalui gabungan bersama Tuah untuk membawa lagu berunsur modern pop rock.
“Vokalis SAJA (Faisal Firdaus) pada awalnya memainkan peranan untuk hidupkan mode pop ballad. Kemudian Tuah pula masuk dengan gaya vokalnya yang bagi saya ada imej tersendiri,” kata Akmal cuba menggambarkan campuran dua vokal yang telah membawa kelainan pada single ‘Dia Cahaya’ ini. Akmal yang gemar bereksperimentasi dengan muzik berpendapat single ‘Dia Cahaya’ ini merupakan antara karya gubahan sendiri yang beliau gemari.
“Saya jenis suka mencuba. Kalau dengar lagu-lagu Mirwana yang terdahulu, memang semua akan faham. Kami suka experimental music,” tambah beliau lagi.
Cinta yang Positif!
Pertumbuhan lagu-lagu berunsur cinta bukanlah sesuatu yang asing dalam industri. Di dalam industri nasyid dan lagu-lagu ketuhanan sendiri, lagu-lagu cinta manusia telah dimurnikan melalui senikata-senikata yang turut dimanifestasikan terhadap cinta Tuhan.
“Pendapat peribadi saya, muzik tetap muzik. Yang penting kita jaga kandungan lirik yang positif,” Akmal memberi pandangan. Kita menyetujui sebuah lagu cinta itu bilamana ia memberi kesan yang positif kepada manusia. Menumbuhkan rasa cinta itu tidak salah. Malahan ia fitrah. Namun bilamana lagu cinta itu dibawa ke arah sifat negatif seperti putus asa dan kekecewaan, pastinya kesan buruk yang bakal terhasil. Paling penting, ia seharusnya cinta yang kembali kepada Tuhan!
Pastinya single ini perlu dipromosikan secara lebih meluas untuk menarik lebih ramai pendengar. Buat masa ini, mereka telah pun mengeluarkan video lirik ‘Dia Cahaya’ di Facebook dan tidak lama lagi akan dimuat naik di laman YouTube. Video lirik tersebut telah mendapat sentuhan profesional dari team SchizoMotion dan saya akui team ini memang sangat kreatif menghasilkan video-video grafik yang bernilai abstrak dan tersendiri. Menurut Akmal, single ini juga telah dipersetujui oleh pihak Warner Music untuk diterbitkan dan mereka juga merancang untuk menghasilkan video muzik tidak lama lagi.
Saya sendiri berpendapat lagu ‘Dia Cahaya’ ini segar untuk didengar. Cuma mungkin senikatanya boleh dikuatkan lagi supaya lebih ‘berhantu’ dan mempunyai ‘line’ yang boleh diingati supaya malar segar sampai bila-bila. Walaubagaimanapun, secara keseluruhannya saya berpuas hati terhadap kualiti penghasilan lagu ini. Saya dapat rasakan ada usaha bersungguh dalam menerbitkannya. Saya juga mengharapkan lebih banyak lagu ‘cinta positif’ seperti ini boleh dihasilkan oleh penggiat-penggiat seni tanah air. Hidup mesti positif!
– Munsyeed
Klik untuk komen pada artikel Dia Cahaya: Eksperimen Muzik Gabungan SAJA dan Tuah Mentor Legend di Munsyeed.